Showing posts with label Keibubapaan. Show all posts
Showing posts with label Keibubapaan. Show all posts

Wednesday, July 9, 2014

50 Ransangan Menjadikan Anak Bijak

1-BERTENTANG MATA 
Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.

  2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA 
Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi. 

  3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN 
Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..

  4-JELIRKAN LIDAH 
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.

  5-HASILKAN BUKU BINATANG Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan. 

  6-GELETEKLAH BAYI ANDA 
Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.

  7-TUNJUKKAN PERBEZAAN 
Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak. 

  8-BERKONGSI PANDANGAN Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak kucing tu." atau "Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaha raan kata. 

  9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA 
Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri ("mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin...."). Mainkan lagu Beethoven atau Beatles... Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

  10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA 
Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

  11-SENTUH DAN RASA 
Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya. 

  12-PERGI MEMBELI-BELAH 
Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi. 

  13-BERI KATA KUNCI 
Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat. 

 14-BERI KEJUTAN
Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya. 

  15-SEDIAKAN BANYAK TISU
Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari. 

  16-BACA BUKU BERULANGKALI.
Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa. 

  17-MAIN CAK-CAK Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali. 

  18-JANGAN LUPA REHAT Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda. 

  19-MAIN DENGAN WARNA 
Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya. 

  20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA 
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza -termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya. 

  21-ANGKATKAN SAHAJA 
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri. 

  22-BIAR DIA MEMBEBEL 
Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

  23-LATIHAN MENEKA 
Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya. 

  24-BINA LALUAN HALANGAN 
Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut. 

  25-IKUT RENTAKNYA 
Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa. 

  26-BUAT MUKA LAWAK 
Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka. 

  27-RASA SEKELILING ANDA
Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' barangan tersebut.

  28-CERITAKAN KISAH DONGENG 
Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok. 

  29-BAYANGAN WAJAH 
Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi "yang lagi satu" senyum dan melambai padanya. 

  30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS
Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.

  31-GOYANGKAN BADAN 
Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina. 

  32-JADILAH TAMAN PERMAINAN 
Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya. 

  33-KIRA SEMUANYA 
 Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda. 

  34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA
Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?") sehinggalah ke soalan konkrit ("Pernah tak adik nampak kucing putih?") 

  35-TUTUP TV 
 Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya. 

  36-TUKAR PEMANDANGAN 
 Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

  37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA 
 Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) . 

  38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA 
 Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

  39-MAIN HUJAN
Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering. 

  40-MENANGKAP SERANGGA 
 Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya. 

  41-BERGURAU- SENDA 
 Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu." Kemudian akui kean anda dan ketawakan 'gurauan' anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

  42-MAIN DENGAN PAKAIAN 
 Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda. 

  43-AJAR TENTANG ISIPADU 
 Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil. 

  44-HASILKAN ALBUM KELUARGA 
 Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon. 

  45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA
Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.

  46-PERGI KE PERPUSTAKAAN 
 Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan. 

  47-CONTOHI CARA SESAME STREET
Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur. 

  48-MAIN BERULANG-ULANG
Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu. 

  49-MAIN "TIRU-MENIRU"
Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-be za supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain. 

  50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN 
 Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.

Sunday, January 19, 2014

Tahap-tahap Pertumbuhan Bayi - Kanak-kanak



Tahap-tahap Pertumbuhan Bayi Adalah Seperti Berikut:

0 hingga 3 bulan
• Berupaya bertindak balas jika anda menyentuhnya dengan lembut pada pipi atau bahagian sensitif lain seperti tapak tangan dan kaki.
• Dalam tempoh ini juga, kemahiran motor bayi mulai terbentuk dengan baik. Bayi boleh menoleh kepala ke kiri dan ke kanan dan meluruskan tangan serta kaki.
• Mata bayi sudah boleh melihat tetapi tidak fokus.
• Pada usia enam minggu, bayi boleh tersenyum.
• Pada usia lapan minggu bayi akan mengeluarkan bunyi tetapi sukar difahami.
• Kepala bayi sudah boleh diangkat apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia tujuh hingga lapan minggu bayi sudah boleh memegang alat permainan lembut dalam tempoh sekejap.
• Pada usia sembilan minggu bayi sudah boleh melihat dari satu objek ke objek lain.
Tip: Beri bayi anda alat permainan yang mengeluarkan bunyi untuk merangsang kemahiran pendengarannya.

3 hingga 6 bulan
• Pada usia 14 minggu, bayi sudah boleh berguling dari perut ke belakang dan sebaliknya.
• Bayi juga boleh mencapai objek dan menggoncang permainan.
• Bayi sudah boleh memegang dua permainan sekali gus dan meletakkannya dalam mulut.
• Bayi sudah boleh mengangkat dadanya apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia 16 minggu bayi sudah mulai menendang-menendang kakinya.
• Genggaman tangan bayi mulai kejap dan kemahiran motornya kian mantap.
• Bayi boleh mengangkat kepalanya dalam masa yang agak lama dan memandang ke arah anda.
Tip: Menyanyi akan menceriakan bayi anda dan merangsang kemahiran lisannya. Jadi, ajaklah anak tepuk tangan dan gerakkan badannya mengikut rentak muzik.

6 hingga 9 bulan
• Bayi mulai menolak dirinya dengan menggunakan kedua-dua tangan, perut dan lutut.
• Mata bayi mulai fokus dan mengekori pergerakan anda di sekeliling rumah.
• Bayi juga mulai merangkak.
• Sudah boleh menggunakan genggaman hujung jari yang melibatkan jari telunjuk dan ibu jari untuk mengambil objek kecil.
• Mulai berdiri dengan sokongan pelbagai barang dalam rumah seperti kabinet, rak, meja dan sebagainya.
• Mulai berjalan dengan bantuan barang-barang sokongan seperti perabot.
• Bayi mengeluarkan pelbagai bunyi suku kata seperti ‘ba’ atau ‘da’ yang jelas tetapi tidak difahami.
Tip: Ajar anak menyebut perkataan yang mudah seperti mama dan papa untuk merangsang kemahirannya bercakap.

9 hingga 12 bulan
• Pada usia 40 minggu bayi mulai boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan perabot.
• Sesetengah bayi mulai memulakan langkah pertama pada usia 41 minggu.
• Bayi juga berminat menolak kereta sorong dan memegang objek yang lebih besar seperti bola.
• Bayi juga boleh memegang objek yang halus seperti pensel dengan cermat.
• Bayi boleh mengenali ahli keluarganya dengan jelas seperti ibu, bapa dan adik-beradik.
• Sudah memahami arahan mudah anda seperti ‘jangan’.
• Bayi gemar bermain ‘sorok barang’ dengan anda.
Tip: Mengajak anak bermain ‘sembunyi-sembunyi’ akan merangsangnya menjadi lebih fokus ketika melihat.

12 hingga 24 bulan
• Pada peringkat ini kanak-kanak biasanya sudah pandai berkata-kata. Contohnya. “Mana mama?”
• Ketika bercakap, mereka akan fokus terhadap apa yang mereka cakapkan itu.
• Semasa membaca buku bersama, mereka akan turut menyebut nama objek-objek yang ada di dalamnya.
• Kanak-kanak dua tahun juga semakin pandai naik dan turun tangga.
• Boleh membuka zip yang bersaiz besar.
• Sudah pandai melukis.
• Semakin pandai memegang dan menggunakan sudu.
Tip: Beri anak anda sudu dan garpunya sendiri ketika makan untuk merangsang kemahirannya memegang sesuatu benda.

Manakala perkembangannya pula akan merangkumi 5 asas utama iaitu perkembangan fizikal, bahasa, kognitif, sosial emosi dan estetika serta daya kreatif.

1. Perkembangan Fizikal
Si manja mengalami perubahan dari segi bentuk dan saiz; kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan halus serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari. Manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti melakar dan melukis.
Tip rangsangan: Berikan anak kertas dan pensel warna. Biarkan dia melukis apa sahaja yang diingini untuk memupuk kreativiti mereka.

2. Perkembangan Bahasa
Anak anda akan mengalami perubahan daripada tahap mengeluarkan bunyi-bunyian kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada rangsangan. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya. Sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibaca kepadanya, menonton televisyen dan mendengar radio.
Tip rangsangan: Ajaklah anak menyanyi lagu dengan lirik ciptaan anda sendiri agar anak boleh belajar menyebut perkataan dengan betul. Misalnya,“Masa mandi, gosok gigi, gosok gigi, gosok gigi...baru bersih.”

3. Perkembangan Kognitif
Ini bermaksud keupayaan kanak-kanak mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia. Interaksi dan komunikasi orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu. Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah melakukan pengumpulan maklumat.
Tip rangsangan: Setiap kali melakukan sesuatu, beritahu anak apa yang anda sedang buat. Misalnya, “Mama nak buka lampu ni,” lalu tekan suis dan lampu akan menyala. Dengan cara ini anak anda akan memahami perbuatan tersebut.

4. Perkembangan Sosial Emosi
Kanak-kanak mula belajar bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Mereka semakin membesar dan pastinya perkembangan emosinya berbeza seperti gembira dan marah. Asuh kanak-kanak dengan mendengar perasaan yang diluahkan dan bimbing mereka ke arah emosi yang positif. Jangan dibiarkan menangis berterusan tanpa mengambil berat emosinya. Tenangkan mereka supaya tidak menangis berpanjangan. Minta mereka memberitahu masalah dan berikan dorongan atau pujian sekiranya mereka boleh menguasai emosinya.
Tip rangsangan: Galakkan anak berkawan dengan rakan sebaya agar dia pandai berkomunikasi dan bertolak ansur.

5. Perkembangan Estetika dan Kreativiti
Lihat kemampuan si kecil mengembangkan daya kreativitinya. Kemahiran ini diperoleh menerusi aktiviti dan projek berkaitan seni visual yang mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir. Proses ini mengaktifkan pemikiran kritikal kanak-kanak dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual menggalakkan kanak-kanak melakukan eksplorasi dan eksperimen dalam kehidupan seharian.
Tip rangsangan: Ajak anak bermain permainan gambar sama. Ambil beberapa keping gambar dan buatkan dua salinan. Campurkan kesemuanya dan biarkan anak asingkan gambar yang sama. Cara ini mengasah kemahiran anak menyelesaikan masalah.


SEDIKIT TIPS BERBELANJA BIJAK

Tips berbelanja bijak dari Prof. Dr. Rozieta Shaary

SEDIKIT TIPS BERBELANJA BIJAK

Sekolah akan dibuka kembali. Cuti akan berakhir. Ramai ibu bapa yang telah bersedia awal-awal akan perbelanjaan yang bakal dilakukan untuk anak-anak. Ini adalag tabiat yang bagus.

Semasa ibu membesarkan 4 daripada 5 anak-anak ibu, semasa itu keadaa hidup kami agak sempit. Yalah, hanya suami ibu bekerja. Kadang-kadang tu, duit gajipun dapat pada pertengahan bulan hadapannya. Fikir-fikirkan macamana kami boleh terus hidup? Tidak pulak rasa sempit berbelanja walaupun gaji suami semasa itu kurang daripada RM2000 sebulan. Alhamdulillah.

Ibu adalah juga berjual itu dan ini. Jual kain batik, kain pasang, keropok dan apa sajalah. Berjaja di kawasan perumahan Ibu masa itu, sambil bawak anak-anak....hmmm teringat masa tu. Malu pun ada, tapi cekalkan sajalah, supaya anak-anak boleh hidup girang.

Masa tu bila nak membeli Ibu amalkan perkara ini, jika sudi anda yang mungkin sama keadaan dengan Ibu dahulu bolehlah ikut:-

1) Pantau dulu harga barang di kedai. Dapatkan best buy.

2) Beli yang perlu saja. Contohnya, seorang anak, cuma sepasang kasut baru. Kasut lama guna untuk spare, jika kasut basah atau terlalu kotor.

3) Baju sekolah pun beli sepasang jer. Yang lama atau yang kakak punya pass kat adik, jadikan spare sementara membasuh yang baru.

4) Makanan dibekal dan beri sikit jer duit belanja sekadar nak melepaskan keinginan membeli kueh yang diinginkan semasa rehat. Bekalan, adalah makanan yang mengeyangkan.

5) Buku sekolah, itu tiada kompromi, Ibu beli yang baru kecuali yang pass kat adik, tapi anak akan mendapat alat tulis yang baru cuma tidak berlebihan.

6) Beg sekolah, Ibu akan suruh mereka basuh yang sedia ada dan pakai hingga dah tak boleh pakai dah. Tidak perlu beli baru hanya sebab nak baru.

Tak ke anak-anak ibu meragam nak yang baru? Alhamdulillah tidak, sebab mereka tahu menilai wang dan tahu apa yang perlu dan apa yang cuma keinginan.

Namun, Ibu tidak pernah menghalang mereka menginginkan sesuatu; di situ Ibu ajar mereka untuk menabung dan mencari wang sendiri, sekreatif yang mereka mampu.

Mengapa anak-anak Ibu boleh menerima keadaan itu? Kerana Ibu banyak mendidik hati mereka agar faham nilai wang dan tidak berbelanja ikut suka hati. Semaian kefahaman itu dibuat sejak mereka kecil lagi. Alhamdulillah, Ibu mendapati hasilnya amat memudahkan mereka dan Ibu bila mereka perlu berjimat.

Yang penting, Ibu tidak pernah mengatakan, kita tidak mampu, apa yang sering Ibu katakan, buat masa ini, ini belum lagi perlu dan kita mesti bijak mengagihkan wang kita untuk perkara yang penting dan prioriti.

InsyaAllah anak-anak akan faham, sebab anak-anak ini, jika kita tegas dan penuh kasih sayang memberi mereka faham dan tenaga kita ialah tenang dengan keadaan yang mencabar, mereka juga akan tenang.

Sekadar nak berkongsi dengan sayang semua, Ibu pernah hidup cuma tinggal RM5 diantara kami suami isteri dan 4 orang anak, sedangkan bulan masih panjang dan gaji suami dah hampir dua bulan belum diberi. Namun, Allah memberi rezekiNya cara yang berbeza. Dalam wang yang tidak cukup, kami berasa cukup. PELIKKAN? TAPI ITULAH NAMANYA REZEKI. Maha Agung Tuhan.

Ibu doakan sayang semua terus dimurahkan rezeki, bijak berbelanja dan tenang menghadapi segala perubahan hidup.

Salam kasih - Ibu Rose -Empower with Love